Pages

Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts
Sunday, 17 July 2016

Review Buku : Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki oleh Dr. Mat Rofa

Post ini saya tulis sebagai review buku Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki. Saya hanya pembaca yang tertarik dengan isi kandungan buku ini, dan tidak ada kaitan dengan apa-apa kajian Dr. Mat Rofa (penulis yang mengkaji). Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa ada beberapa isi buku ini yang menarik untuk dikongsikan.

Antara tujuan buku ini ditulis adalah untuk membongkarkan sejarah yang berkaitan dengan empayar Uthmaniyyah dan hubungan empayar ini dengan Alam Melayu. Pelbagai bukti-bukti sejarah yang dijumpai oleh penulis buku tentang hubungan antara kerajaan Uthmaniyyah dengan kerajaan di Alam Melayu. Dalam buku ini, penulis menceritakan tentang hubungan Turki dengan Alam Melayu yang berlangsung sejak awal.

LATAR BELAKANG SEJARAH HUBUNGAN

Di Alam Melayu, ketika itu, Melaka diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1458-1477) selama 19 tahun bertepatan dengan pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Melaka dan rantau pentadbirannya di Asia Tenggara mengiktiraf khalifah Uthmaniyyah sebagai pemimpin besar umat Islam keseluruhannya. Lalu, kerajaan di Alam Melayu menjalinkan hubungan dengan kerajaan Uthaminyyah. Hubungan ini semakin kuat dan melebar ketika pentadbiran Sultan Sulaiman al-Qanuni. Beliau berutusan surat dengan kerajaan Islam Acheh yang melibatkan hubungan diplomatik dan ketenteraan. Kerajaan Uthmaniyyah menjadi pelindung negara umat Islam di seluruh dunia ketika kemuncak keagungannya. Hubungan ini adalah didasari dengan keimanan. Kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia diganti oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Sejurus sebelum kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, perjuangan menentang penjajahan British di Tanah Melayu masih berhubung dengan khalifah Turki oleh rangkaian Syeikh Ahmad al-Fatani di Riau, Jambi, Pahang dan seluruh Alam Melayu. Contohnya, perjuangan Dato Bahaman Dato Bahaman memohon pertolongan Turki. Khalifah Turki menghantar pertolongan armada laut tetapi armada ini ditenggelamkan oleh British sebelum tiba ke destinasi.

Di akhir pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah, umat Islam berada dalam pergolakan dan perpecahan yang dahsyat disebabkan oleh dasar imperialisme Barat. Sultan Abdul Hamid menubuhkan gerakan Pan-Islam bertujuan untuk menyatukan umat Islam di bawah satu pentadbiran yang mantap berpayungkan Uthmaniyyah sebagai sebuah kerajaan Islam. Umat Islam perlu disatukan di bawah seorang khilafah setelah perpecahan yang berlaku akibat kolonialisme Barat. Projek ini berjalan dengan jayanya tetapi akhirnya tergendala setelah kejatuhan Sultan Abdul Hamid II. Penentangan British dan sekutunya terhadap Sultan Abdul Hamid II yang menjadi pelindung kepada umat Islam dilakukan dengan sangat terancang.

FAKTA-FAKTA YANG DISEMBUNYIKAN

Antara fakta yang menarik yang saya temui di dalam buku ini juga adalah, semasa era penjajahan Jepun di negara kita. Kerajaan Uthmaniyyah telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Jepun untuk menghalau British dari Tanah Melayu. Fakta ini langsung tidak disebut di dalam buku sejarah di negara kita kerana sesetengah penulis sejarah negara terpengaruh dengan paradoks bahawa pejuang Melayu yang melawan Jepun adalah hero negara. Selain itu, penulis di negara kita juga tidak menyebut nama-nama tokoh penting yang banyak menyumbang dalam perhubungan Turki-Melayu. Antaranya ialah Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah dilantik sebagai wakil kerajaan Uthmaniyyah di Alam Melayu. Syeikh Ahmad al-Fatani sangat berjasa dalam perkembangan ilmu agama dan pemikiran Islam di Tanah Melayu.

Bukti-bukti sejarah yang ditemui oleh penulis semasa melakukan kajian beliau menunjukkan bahawa ilmu-ilmu seperti astronomi, aljabar, algoritma, astrofizik dan sebagainya terlebih awal diasaskan oleh sarjana-sarjana Islam seperti al-Farabi, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan sebagainya. Bahasa Arab juga adalah bahasa ilmu di dunia ketika zaman kegemilangan Islam dan bahasa ini dipelajari oleh sebahagian sarjana Barat yang menuntut ilmu daripada sarjana Islam.

Penulis juga mengkritik sesetengah penulis sejarah yang tidak adil dalam menulis sejarah sesuatu tamadun. Lebih teruk lagi, penulis di tanah air kita juga terpengaruh dengan penulisan sejarawan Barat. Penulis Barat lebih fokus untuk menghuraikan keburukan kerajaan Uthmaniyyah melebihi sumbangan kerajaan tersebut terhadap tamadun Islam. Sebagai contoh, kerajaan Uthmaniyyah diburukkan dengan kes yang berlaku berkaitan dengan hal-hal peribadi dalam keluarga sultan. Walaupun wujud korupsi dalam kalangan pemerintah, tetapi sumbangan kerajaan Islam yang besar tidak di'highlight'kan dalam buku yang ditulis oleh sejarawan Barat.

Penulisan buku ini boleh jadi juga sedikit tidak adil kerana menyebelahi kepada satu pihak saja, namun buku ini ditulis berdasarkan kajian yang merujuk sumber yang 'authentic'. Oleh sebab itu, fakta sejarah dalam buku ini lebih diyakini berbanding fakta buku sejarah yang diajar di kebanyakan sekolah di Malaysia.


Saturday, 13 June 2015

Introspeksi Iman : Mahasiswa 3K

Amin baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah di surau kolej kediamannya. Setelah solat berjemaah, dia akan membaca al-Quran sebentar sebelum mendengar tazkirah setiap malam di surau.

Setelah berpenat-penat belajar pada siang hari, pada malam hari pula, Amin dan teman-teman seusrahnya akan menghabiskan waktu dengan bertazkirah dan bertadarus al-Quran. Dia berasa sangat tenang apabila dapat memberikan waktu untuk makanan rohani pula.

Pada malam itu, dia sangat terkesan dengan satu tazkirah yang disampaikan oleh naqibnya , Firdaus, namun lebih famous dikenali sebagai 'Abang Surau'.

"Sudah 19 ke 20 tahun kita hidup di dunia. Kita sangat bertuah kerana dilahirkan dalam ruang lingkup Islam. Alhamdulillah... Tapi apakah yang kita sudah lakukan untuk sebarkan Islam untuk orang lain?"

"Setiap hari, rutin harian kita adalah kelas, kafe dan katil. Pagi ke kelas, kemudian makan di kafe, dan berehat di katil. Jika kita berada di takuk lama sebegini, bila akan berlakunya gerak kerja Islam?"

Soalan Abang Surau membuatkan Amin dan semua yang mendengar berfikir sejenak.

"Elakkan daripada menjadikan diri kita mahasiswa 3K. Kita sekarang sudah memasuki ke fasa mahasiswa di mana kita sedang mempelajari tentang erti hidup yang sebenar. Kita akan menjadi pemimpin negara kelak. Justeru, kita perlu lakukan perubahan untuk melihat sebuah negara yang tertegaknya Islam"

**********

Persoalan Amin itu akhirnya terjawab apabila dia menyertai satu program yang dianjurkan oleh Centre of Islamic Thoughts and Understanding di kolejnya. Program itu berbentuk forum yang didiskusi oleh beberapa pensyarah yang digelar murabbi.

Salah seorang pensyarahnya, Ustazah Basyira menerima soalan yang berbunyi, "Apakah peranan mahasiswa yang sebenar?". Lalu beliau menjawab, 

"Mahasiswa perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti seperti membangunkan surau, namun sambil mentarbiah diri. Dalam melakukan aktiviti, mahasiswa perlu berdakwah dan menyeru kepada benda baik. Apabila digelar sebagai pelajar, peranan mahasiswa bukan hanya perlu belajar, tetapi memberi sumbangan kepada dakwah dan tarbiah. Mahasiswa bukan hanya duduk di bilik, namun perlu berjumpa mad'u. Mahasiswa mesti kembangkan dakwah dan beri latihan dan modul kepada mereka."

Forum itu disambung lagi oleh jawapan yang diberikan oleh Ustaz Mutawalli pula. Apabila ditanya, "Apakah bentuk cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa kini?", beliau menjawab,

"Antara cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa kini adalah, kematangan. Mahasiswa perlu ubah cara mereka berfikir malah perlu membentuk pemikiran baru. Minda perlu dicabar dalam mengemukakan idea-idea yang bernas untuk masa depan diri sendiri dan masyarakat. Selain itu, mahasiswa perlu berbakti dan menanamkan sifat bahawa sebagai mahasiswa, mereka mampu menjadi model kepada masyarakat sekeliling."

Amin cuba menghadamkan kata-kata ustaznya itu. Ustaznya menyambung lagi,

"Pandangan mahasiswa adalah intelektual dan mereka perlu bersedia untak melihat situasi yang lebih mencabar. Justeru itu, mereka perlu bersedia menjadi pemimpin masyarakat mereka berperanan besar untuk mengubah masyarakat. Bukan sahaja perlu bijak untuk berkata-kata, malah mempunyai pandangan yang berkarisma. Mereka perlu mempunyai keupayaan yang tinggi berteraskan jati diri, rohani, ilmu."

Amin merasakan bahawa kata-kata ustaznya itu membuahkan satu pemikiran yang mencabar buat dirinya.

"Pesanan terakhir dari ana, belajar bukan sekadar untuk menampung keluarga, tetapi untuk Allah. Jika antum belajar untuk Allah, in shaa Allah ilmu akan berkekalan, bukan sekadar melepaskan jawapan di atas kertas exam. Milikilah hujah untuk melawan ideologi serta carilah pandangan yang ilmiah."

Bagaikan gunung jatuh menimpa ke atas Amin apabila dia mengetahui tanggungjawabnya yang sebenar.

Kemudian, forum itu disambung untuk pusingan kedua oleh Ustazah Basyira untuk mejawab soalan moderator, "Bagaimanakah hendak menjadi mahasiswa yang hebat?".

Ustazah Basyira membacakan sebuah hadis, "Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpinkan".

"Hendak menjadi hebat, perlu menjadi orang yang boleh mengarah dan berada di atas, namun mahasiswa perlu sentiasa beringat bahawa semua itu tanggungjawab"

"Siapa diri kita sebenarnya? Sebagai insan kita ada dua objektif utama kita, iaitu sebagai hamba kepada Allah SWT dan khalifah di muka bumi ini. Ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh setiap manusia. Niat yang utama apabila digelar sebagai manusia tak kiralah perdana menteri atau mahasiswa, adalah untuk mencapai keredhaan Allah. Oleh itu, niat ini perlu sentiasa diperbaharui atau tajdid."

"Yang dimaksudkan dengan mahasiswa hebat adalah mahasiswa luar biasa. Luar biasa di sini bermaksud membuat perkara yang orang lain tidak buat. Mahasiswa yang luar biasa, dia mampu untuk membuat banyak benda dalam sehari. 24 jam adalah cukup buatnya. Oleh itu, memanfaatkan setiap detik yang ada supaya menjadi luar biasa. Ada waktu, mahasiswa adalah sebagai pelajar dan ada waktu mahasiswa perlu aplikasikan pelajarannya dengan sekeliling. Mahasiswa perlu mendengar, kemudian fikir, kemudian lontarkan idea."

"Mahasiswa yang luar biasa, aktivitinya juga adalah luar biasa apabila aktiviti hariannya menjadi tarbiah untuk dirinya dan orang lain. Makan, minum, riadah, dan sebagainya menjadi sesuatu yang luar biasa iaitu bermanfaat untuk diri dan orang lain. Ingatlah akan janji Allah SWT bahawa jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita juga.

Semasa sesi penggulungan, Ustazah Basyira diminta untuk memberikan nasihat kepada para hadirin yang terdiri daripada mahasiswa.

"Nasihat ana untuk para mahasiswa, jangan abaikan ibu bapa yang telah banyak memberikan jasa kepada antum. Tanpa doa dan usaha mereka, antum tak akan dapat berada setinggi ini. Dan gunakanlah peluang di tempat belajar sebaik mungkin untuk menuntut ilmu."

"Pesan Imam Syafi'e, kamu tidak akan memperoleh ilmu melainkan dengan 6 perkara. Kecerdikan, disiplin, usaha bersungguh-sungguh, bekalan secukupnya, mendampingi guru dan sepanjang zaman."

"Untuk berjaya bukan sahaja perlu ada ilmu, malah perlu ada usaha, doa dan amal. Ana menutup forum ini dengan kata-kata oleh Imam Al-Ghazali,"

Menuntut ilmu adalah taqwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang ilmu adalah zikir, mencari ilmu adalah jihad.
[credit]

[credit]

**********

...bersambung...
Thursday, 12 March 2015

Belajar Daripada Sebatang Pokok.

Assalamualaikum :)


Apakah yang ada pada sebatang pokok sehingga manusia perlu belajar daripadanya? Adakah pokok itu boleh menjadi guru kepada manusia? Jawapannya ya! Tetapi belajar di sini bukanlah bermaksud pokok itu mempunyai ilmu. Tetapi kerana pokok itu adalah salah satu ayat atau tanda-tanda kebesaran Allah. Firman Allah SWT dalam Kalam Teragung

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
Jika kita mengaku sebagai orang yang beriman, maka kita perlu mengetahui bahawa kita juga adalah "Ulul Albab" atau orang-orang yang berfikir. Jom kita fikir, apakah pengajaran di sebalik salah satu tanda kebesaran Allah yang sangat hebat ini iaitu sebatang pokok.

APAKAH PENGAJARAN SEBALIK SEBATANG POKOK?

1) Akar Pokok
Pertama sekali, kita lihat dulu pada asas sebatang pokok, iaitu akar. Akar pokok adalah anggota pokok yang paling penting yang menjadi asas agar pokok tetap berdiri teguh. Melalui akar juga pokok itu mendapat nutrient untuk kekal subur dan sihat. Begitulah juga peranan aqidah kepada manusia. Aqidah manusia diumpamakan sebagai akar pokok yang menjadi asas sebagai seorang hamba di muka bumi ini. Aqidah yang dimaksudkan di sini adalah aqidah kepada Allah SWT kerana ini adalah aqidah yang benar. Aqidah kepada Allah SWT perlulah kuat supaya manusia tidak hanyut dan tersesat dalam perjalanan musafirnya. Ustaz Fathi Yakan menyatakan dalam bukunya, "Apa Ertinya Saya Menganut Islam",
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
2) Batang Pokok
Seterusnya, apabila akar sesuatu pokok itu menjadi subur, batang pokok juga akan menjadi sihat dan kuat. Sehinggakan ada pokok yang mampu mencapai ketinggian sehingga seratus meter. Sangat menakjubkan. Batang pokok yang teguh ini diumpamakan sebagai ibadah seorang hamba. Apabila seseorang hamba itu mempunyai aqidah yang mantap kepada Allah SWT, ibadahnya akan menjadi lebih sempurna. Kita perlu refleks kembali, apakah tujuan kita diciptakan? Firman Allah SWT,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Sebagai hamba yang sebenar inilah tanggungjawab kita iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Namun, seseorang hamba itu bukan sahaja perlu beribadah tetapi perlu istiqamah. Apalah ertinya ibadah tanpa istiqamah. Dan apalah erti istiqamah tanpa ilmu yang dapat menyempurnakan ibadah. Ustaz Fathi Yakan menyatakan lagi,
Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatihan antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya.
3) Buah dari Sebatang Pokok
Apabila sebatang pokok menjadi subur setelah dibajai, ia akan mengeluarkan buah yang mampu memberi manfaat untuk orang yang memakannya. Semakin baik pokok itu, maka semakin baiklah buahnya. Begitulah akhlak seorang hamba yang diumpamakan seperti buah daripada sebatang pokok yang subur. Buah yang baik menunjukkan bahawa ia tumbuh dari pokok yang sihat. Begitu jugalah jika akhlak yang baik, ia pasti lahir dari aqidah dah ibadah yang baik. Rasulullah SAW bersabda, bukti keimanan seorang hamba itu adalah melalui akhlaknya kepada manusia lain dan segala ciptaan di muka bumi ini. Rasulullah mempunyai keimanan yang paling mantap, maka bagindalah manusia yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
Ustaz Fathi Yakan menyatakan lagi,
Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah s.a.w menyatakan: Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. (Hadis riwayat Ad-Dailami).
JADI, APAKAH KESIMPULANNYA?
Ringkasannya,
Akar = aqidah
Batang pokok = ibadah
Buah = akhlak
Jelaslah kita lihat bahawa tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Setiap ciptaanNya adalah tanda-tanda kekuasaanNya yang amat hebat. Sebagai manusia yang mengaku beriman, kita perlu mengenali Allah dan salah satu cara untuk mengenal Dia adalah melalui ciptaan-ciptaanNya. Bukan pokok sahaja yang kita boleh ambil pengajaran, malah banyak lagi ciptaan yang mempunyai tanda kebesaran Allah yang tersirat.


Infiru!

AL-MUSAFIRAH AL-FAQIRAH, MISS SLAVE.
13/3/2015
Thursday, 15 December 2011

Oley !

Assalamualaikum :)

Gambar ini sekadar hiasan dan untuk pengetahuan kita semua :D
Ajmal tak tahu kenapa Ajmal buat tajuk macam tu. Macam gembira jer bunyinya kann? Sebenarnya Ajmal nak share satu video yang menarik nih. Video tu yang tajuk Oley ! Ajmal cuma ikut je.

Video ni menerangkan secara umum tentang hukum hudud yang orang-orang dacing masih tak faham konsep yang sebenar. Yang menarik tentang video ni ialah penampilan khas Bob Lukman dengan Mat Luthfi.

Sebelum ni Ajmal dah pernah post tentang hukum hudud nii. Tengok kat sini.

Semoga kita semua dapat memahami konsep sebenar hukum hudud, melaksanakan hukum hudud dan menumbangkan perlembagaan buatan kafir harbi yang kini dijunjung oleh pemimpin-pemimpin sekular.


Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.
P/S : Result PMR confirm 22/12/11 ! Bersiap sedialah wahai calon-calon PMR 2011!!
Thursday, 3 November 2011

8 Jenis Makanan Terbaik Dunia

Assalamualaikum :)


1) Buah delima


Fiman Allah, "Dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima yang sama dan yang tidak sama (bentuknya), perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya..."
[Surah Al-An'am : 99]


2) Kismis
Dalam Tibb An-Nabawi menyebut hadis yang bermaksud, "Sebaik-baik makanan ialah buah zabib (kismis). Ia menghilangkan keletihan, menguatkan urat saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan warna kulit dan mengharumkan bau hidung serta mulut".


3) Kurma
Firman Allah S.W.T., "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu."
[Surah Maryam : 25-26]


4) Habbatus Sauda'
Bunga habbatus sauda'
Sabda Rasulullah S.A.W., "Tetaplah kamu dengan habbatus sauda' ini, kerana padanya terdapat penawar bagi segala penyakit kecuali as-saam (mati)".
[HR Muslim]


5) Za'faran
Saidina Ali K.W.J. pernah menyatakan, "Sesiapa mengambil sebahagian za'faran dan su' di satu bahagian dicampur dengan madu, diminum sebanyak dua sudu pada setiap hari, maka ia dikagumi tentang ingatannya, sehingga dituduh melakukan sihir".
Antara khasiat za'faran ialah:

  1. Membantu menyempurnakan proses penghadaman.
  2. Menguat ingatan.
  3. Merawat anemia.
  4. Mengawal tekanan darah dan kolesterol.
  5. Mengurangkan risiko serangan sakit jantung.
  6. Melancarkan mengaliran darah.
  7. Merawat penyakit saraf.
  8. Mengurangkan keletihan.
  9. Mengurangkan sembelit.
  10. Penenang diri.
  11. Perangsang tenaga batin.



6) Madu
Firman Allah, "Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat penawar yang menyembuhkan bagi manusia".
[Surah An-Nahl : 68-69]


7) Zaitun
Firman Allah, "Dari pohon itu (zaitun) yang berasal dari Bukit Sinai mengeluarkan minyak dan makanan".
[Surah Al-Mukminin : 20]


8) Buah Tiin
Riwayat dari Abu Zar R.A. bahawa Nabi S.A.W dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Nabi S.A.W. mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda S.A.W. bersabda, "Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan."
Saturday, 22 October 2011

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

Assalamualaikum :)
Malaikat ialah makhluk Allah S.W.T. yang dicipta daripada cahaya (nur), tidak berjantina, tidak mempunyai nafsu, tidak makan mahupun minum serta sentiasa taat kepada Allah S.W.T. Ketika menghadapi masalah atau musibah, kita sangat memerlukan sokongan daripada malaikat. Antara orang yang didoa oleh malaikat ialah:


1) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa, “Ya Allah, ampunilah hambaMu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci".

2) Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya, “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya, ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia".

3) Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan".

4) Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf".

5) Orang yang mengucapkan 'amin' setelah imam membaca al-Fatihah.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu".

6) Orang yang duduk di tempatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat".

7) Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat".

8) Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin' dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan”.

9) Orang yang membelanjakan harta infaq.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq".

10) Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur".

11) Orang yang sedang melawat orang sakit.

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya, “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh".


sumber:
Aku ISLAM : 11 Jenis Manusia Didoa Malaikat
Friday, 14 October 2011

Tanda-tanda Kematian

100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.

60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.

40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di 'Arasy akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.

7 hari : Mengidam makanan.

5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.

3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.

2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.

1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh and asar.

Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan).

Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap.

******Saat Malaikat Mencabut Nyawa******

Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."
Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:
  1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
  2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
  3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
  4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
  5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
  6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
  7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-"
  1. Orang-orang yang mati syahid.
  2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
  3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Sekian untuk ingatan kita bersama.
Friday, 26 August 2011

Amalan Sebelum Solat Aidilfitri

Assalamualaikum :)

Sabda Rasulullah S.A.W.
Apabila Rasulullah S.A.W. tiba di Madinah, baginda mendapati penduduknya mempunyai dua perayaan untuk bersuka ria. Baginda pun bertanya, "Hari perayaan apakah ini?" Para sahabat menjawab, "Kami menyambutnya dengan bersuka ria sewaktu jahiliyah". Lalu Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah menggantikan kamu dua hari yang lebih mulia daripada hari-hari tersebut, iaitu hari Aidilfitri dan Aidiladha". (Riwayat Abu Daud)
Amalan Sebelum Solat Aidilfitri (dan Aidiladha)

  1. Mandi sunat pada pagi raya.

  2. Memakai pakaian yang bersih.

  3. Memakai wangi-wangian bagi lelaki.

  4. Saling bermaafan dengan ibu bapa dan ahli keluarga.

  5. Berwajah ceria dan murah senyuman.

  6. Membayar zakat fitrah, banyakkan sedekah.

  7. Pergi awal  ke masjid.

  8. Bersarapan terlebih dahulu.

  9. Bertakbir hari raya di rumah. (Setelah jatuh matahari pada akhir Ramadhan hingga solat Aidilfitri)


Friday, 29 July 2011

Kisah Hamba Allah yang Pertama

Orang yang pertama menulis Bismillah :
Nabi Sulaiman AS

Orang yang pertama minum air zamzam :
Nabi Ismail AS

Orang yang pertama berkhatan :
Nabi Ibrahim AS

Orang yang pertama diberikan pakaian pada Hari Qiamat :
Nabi Ibrahim AS

Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada Hari Qiamat :
Nabi Adam AS

Orang yang pertama mengerjakan sa'ie antara Safa dan Marwah :
Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)

Orang yang pertama dibangkitkan pada Hari Qiamat :
Nabi Muhammad SAW

Orang yang pertama menjadi khalifah Islam :
Abu Bakar AsSiddiq RA

Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah:
Umar bin Al-Khattab RA

Orang yang pertama meletakkan jawatan khalifah dalam Islam:
Al-Hasan bin Ali RA

Orang yang pertama menyusukan Nabi S.A.W:
Thuwaibah RA

Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki :
Al-Harith bin Abi Halah R.A.

Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita:
Sumayyah binti Khabbat R.A.

Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran :
Abdullah bin Amru bin Al-Ash R.A.

Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah :
Saad bin Abi Waqqas R.A.

Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan:
Bilal bin Rabah R.A.

Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah S.A.W. :
Ali bin Abi Thalib R.A.

Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi S.A.W.:
Tamim Ad-dary R.A.

Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : 
Az-Zubair bin Al-Awwam R.A.

Orang yang pertama menulis sirah Nabi S.A.W.:
Ibban bin Othman bin Affan R.A.

Orang yang pertama beriman dengan Nabi S.A.W. :
Khadijah binti Khuwailid R.A.

Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh :
Imam Syaf'ei R.H.

Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:
Ali bin Abi Thalib R.A.

Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam :
Muawayah bin Abi Sufyan R.A.

Orang yang pertama membuat perpustakaan awam :
Harun Ar-Rasyid R.H.

Orang yang pertama mengadakan Baitul Mal : 
Umar Al-Khattab R.A.

Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah S.A.W.:
Ali bin Abi Thalib R.A.

Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah :  
Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur R.H.

Orang yang pertama digelar Al-Muqry :
Mus'ab bin Umair R.A.

Orang yang pertama masuk Syurga :
Saturday, 16 July 2011

Malam Nisfu Sya'ban

Dari Aisyah R.A katanya,"Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."
Sya'ban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Dari pelbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
1) Memperbanyak puasa sunat.
Dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
2) Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
3) Bertaubat
Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Wednesday, 29 June 2011

Peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. hati Rasulullah S.A.W dicuci dengan air zamzam lalu dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W.

Perjalanan Israk
Israk ialah perjalanan Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Rasulullah S.A.W didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk. Sepanjang perjalanan, Rasulullah S.A.W ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Apabila tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah S.A.W diarahkan oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah

  1. Negeri Thaibah - Tempat di mana Rasulullah melakukan hijrah.
  2. Bukit Tursina - Tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
  3. Baitul Laham - Tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan.



Dalam perjalanan itu juga, Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya ialah:
Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Itulah kaum berjihad "Fisabillah" yang digandakan pahala kebaikan sebanyak 700 kali ganda sehingga gandaan yang lebih banyak.
Tempat yang berbau harum.Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tidak mahu mengaku Fir'aun sebagai Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali. Lalu dipecahkan semula. Demikian dilakukan berkali-kali. Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Itulah lelaki dan perempaun yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai pasangan.
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Itulah orang yang makan riba'.
Lelaki yang menghimpunkan seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
Satu kaum yang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela/menghina) orang.
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang sempit tidak dapat memasuki lubang itu semula. Itulah orang yang bercakap besar, kemudian dia menyesal tetapi sudah terlambat.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan tiga bongkok menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat Hari Kiamat.
Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahnyang dua rakaat dengan segala anbia' dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu Jibrail membawa bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Jibrail berkata bahawa Rasulullah membuat pilihan yang betul. Jika Rasulullah memilih arak, m=nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Perjalanan Mikraj
Mikraj ialah perjalanan Rasulullah S.A.W. dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha. Rasulullah didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1) Langit Pertama
Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian Rasulullah melihat orang-orang yang makan riba' dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2) Langit Kedua
Rasulullah S.A.W. dan Jibrail bertemu dengan Nabi 'Isa A.S dan Nabi Yahya A.S.

3) Langit Ketiga
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4) Langit Keempat
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5) Langit Kelima
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6) Langit Keenam
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan nabi-nabi kemudian Nabi Musa A.S. Jibrail mengarahkan Rasulullah S.A.W. mendongakkan kepala lalu baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7) Langit Ketujuh
Rasulullah S.A.W. bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim A.S. bersabda kepada Rasulullah S.A.W, "Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu Hauqalah". Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya. tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu tasbih, tahmid, tahlil, takbir, dan hauqalah. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa ajaib yang lain, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang. *Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah.

8) Langit Kelapan
Di sinilah disebut "Al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tidak berubah (sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah). Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Rasulullah S.A.W. masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya.

9) Tangga Kesembilan
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu Baginda  melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10) Hadhrat Rabbul Arbab
Rasulullah bertemu dengan Allah. Kemudian, berlakulah dialog antara Allah dan Rasulullah S.A.W:

Firman Allah S.W.T,
Ya Muhammad.
Sabda Rasulullah S.A.W,
Labbaika.
Firman Allah S.W.T,
Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Sabda Rasulullah S.A.W,
Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengat izinkMu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Firman Allah S.W.T,
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikanmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada Hari Kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikan ayat-ayat di akhir surah Al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah, dan amar makruf nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwaul Hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Setelah selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. seterusnya Nabi Musa A.S. Nabi Musa A.S. menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T. agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu (setiap kali merayu dikurangkan lima waktu 9x5=45), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya yang menyamai 50 waktu.

Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Rasulullah S.A.W. menunggang Buraq semasa perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini, Rasulullah S.A.W. bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemuadiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amatajaib itu


Tuesday, 24 May 2011

10 Jenis Orang Yang Mayatnya Tidak Busuk & Tidak Reput

Disebutkan di dalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun umur akhirat dalam keadaan tidak makan dan tidak minum, tidak duduk dan tidak bercakap. Bertanya orang kepada Rasulullah saw, "Bagaimana kita dapat mengenali orang-orang mukmin kelak di hari qiamat?"

Maka jawabnya Rasulullah saw, "Umat dikenal kerana wajah mereka putih disebabkan oleh wudhu'." Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka kecuali pada tempat sujud. Bekas sujud tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu keimanan mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayanKu dan hamba-hambaKu.

Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya tidak busuk dan tidak reput dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati :
  1. Para Nabi
  2. Para Ahli Jihad
  3. Para Alim Ulama'
  4. Para Syuhada
  5. Para Penghafal Al Quran
  6. Imam atau Pemimpin yang Adil
  7. Tukang Azan.
  8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
  9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
  10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman.
Di dalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah saw, "Apabila datang hari qiamat dan orang orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah SWT memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan. Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hambaKu berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah buahan syurga. Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi. Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap." Firman oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud, "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu itu."

Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Gambar Hiasan

Tuesday, 17 May 2011

Kisah Tempat Tinggal Roh

Abu Bakar R.A telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad, maka berkata Abu Bakar R.A, "Ruh itu menuju ke tujuh tempat":

  1. Ruh para nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin. 
  2. Ruh para ulama menuju ke syurga Firdaus. 
  3. Ruh para mereka yang berbahagia menuju ke syurga Illiyyina. 
  4. Ruh para syuhada' berterbangan seperti burung disyurga sekehendak mereka. 
  5. Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai Hari Kiamat
  6. Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 
  7. Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya sampai Hari Kiamat.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W. bahawa, "Tiga kelompok manusia yang akan berjabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya ialah.":-
  1. Orang-orang yang mati syahid. 
  2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan. 
  3. Orang yang puasa hari Arafah.

sumber: