Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. hati Rasulullah S.A.W dicuci dengan air zamzam lalu dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W.
Perjalanan Israk
Israk ialah perjalanan Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Rasulullah S.A.W didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk. Sepanjang perjalanan, Rasulullah S.A.W ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Apabila tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah S.A.W diarahkan oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah
- Negeri Thaibah - Tempat di mana Rasulullah melakukan hijrah.
- Bukit Tursina - Tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
- Baitul Laham - Tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan.
Dalam perjalanan itu juga, Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya ialah:
Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.Itulah kaum berjihad "Fisabillah" yang digandakan pahala kebaikan sebanyak 700 kali ganda sehingga gandaan yang lebih banyak.
Tempat yang berbau harum.Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tidak mahu mengaku Fir'aun sebagai Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali. Lalu dipecahkan semula. Demikian dilakukan berkali-kali. Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Itulah lelaki dan perempaun yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai pasangan.
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Itulah orang yang makan riba'.
Lelaki yang menghimpunkan seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
Satu kaum yang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela/menghina) orang.
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang sempit tidak dapat memasuki lubang itu semula. Itulah orang yang bercakap besar, kemudian dia menyesal tetapi sudah terlambat.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
Seorang perempuan tiga bongkok menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat Hari Kiamat.
Setibanya di Masjidil Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahnyang dua rakaat dengan segala anbia' dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu Jibrail membawa bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Jibrail berkata bahawa Rasulullah membuat pilihan yang betul. Jika Rasulullah memilih arak, m=nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Perjalanan Mikraj
Mikraj ialah perjalanan Rasulullah S.A.W. dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha. Rasulullah didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1) Langit Pertama
Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian Rasulullah melihat orang-orang yang makan riba' dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2) Langit Kedua
Rasulullah S.A.W. dan Jibrail bertemu dengan Nabi 'Isa A.S dan Nabi Yahya A.S.
3) Langit Ketiga
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
4) Langit Keempat
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Idris A.S.
5) Langit Kelima
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6) Langit Keenam
Rasulullah dan Jibrail bertemu dengan nabi-nabi kemudian Nabi Musa A.S. Jibrail mengarahkan Rasulullah S.A.W. mendongakkan kepala lalu baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7) Langit Ketujuh
Rasulullah S.A.W. bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim A.S. bersabda kepada Rasulullah S.A.W, "Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu Hauqalah". Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya. tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu tasbih, tahmid, tahlil, takbir, dan hauqalah. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa ajaib yang lain, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul Makmur dan bersembahyang. *Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah.
8) Langit Kelapan
Di sinilah disebut "Al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tidak berubah (sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah). Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Rasulullah S.A.W. masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya.
9) Tangga Kesembilan
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu Baginda melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
10) Hadhrat Rabbul Arbab
Rasulullah bertemu dengan Allah. Kemudian, berlakulah dialog antara Allah dan Rasulullah S.A.W:
Firman Allah S.W.T,
Ya Muhammad.
Sabda Rasulullah S.A.W,
Labbaika.
Firman Allah S.W.T,
Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Sabda Rasulullah S.A.W,
Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengat izinkMu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Firman Allah S.W.T,
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikanmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada Hari Kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikan ayat-ayat di akhir surah Al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah, dan amar makruf nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwaul Hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Setelah selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. seterusnya Nabi Musa A.S. Nabi Musa A.S. menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T. agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu (setiap kali merayu dikurangkan lima waktu 9x5=45), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya yang menyamai 50 waktu.
Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Rasulullah S.A.W. menunggang Buraq semasa perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini, Rasulullah S.A.W. bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemuadiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amatajaib itu

moga mesej isra' itu tersemat dlm jiwa kita untuk menjadi insan soleh dan musleh
ReplyDelete@shairazi sharizan insyaAllah
ReplyDelete