Pada suatu hari, Juha kehilangan himarnya (keldai). Puas dia mencari tetapi tidak juga ditemui. Dia memikirkan cara untuk mencari himarnya dengan cepat dan senang. Suatu hari, dia membuat pengumuman kepada orang-orang kampungnya di sebuah pasar.
Juha : Wahai orang-orang kampung, jika antara kamu berjaya menemui himarku, aku akan menjual himarku kepadnya dengan harga yang murah!
Naiklah semangat orang-orang kampung untuk mencari himar Juha. Mereka segera mencari himar itu. Akhirnya, himar itu ditemui oleh seorang lelaki.
Lelaki : Juha, aku sudah menemui himar kamu. Sekarang aku hendak membelinya daripada kamu.
Juha : Bersabarlah. Aku tidak mahu menjualnya sekarang. Aku akan menjualnya esok.
Lelaki itu pun akur dengan Juha lalu beredar. Pada keesokan hari, dia datang lagi menemui Juha untuk menuntut haknya untuk membeli himar itu dengan harga yang murah.
Lelaki : Sekarang aku akan membeli himar itu daripada kamu.
Juha : Baiklah, aku akan menjualnya kepada kamu sekarang. Tapi, ada syaratnya. Kamu harus membeli kasut usangku dahulu dengan harga 2000 dinar sebelum membeli himar itu. Kamu setuju?
Lelaki itu berasa marah, lalu meninggalkan Juha.

No comments:
Post a Comment