Pages

Sunday 17 July 2016

Review Buku : Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki oleh Dr. Mat Rofa

Post ini saya tulis sebagai review buku Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki. Saya hanya pembaca yang tertarik dengan isi kandungan buku ini, dan tidak ada kaitan dengan apa-apa kajian Dr. Mat Rofa (penulis yang mengkaji). Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa ada beberapa isi buku ini yang menarik untuk dikongsikan.

Antara tujuan buku ini ditulis adalah untuk membongkarkan sejarah yang berkaitan dengan empayar Uthmaniyyah dan hubungan empayar ini dengan Alam Melayu. Pelbagai bukti-bukti sejarah yang dijumpai oleh penulis buku tentang hubungan antara kerajaan Uthmaniyyah dengan kerajaan di Alam Melayu. Dalam buku ini, penulis menceritakan tentang hubungan Turki dengan Alam Melayu yang berlangsung sejak awal.

LATAR BELAKANG SEJARAH HUBUNGAN

Di Alam Melayu, ketika itu, Melaka diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1458-1477) selama 19 tahun bertepatan dengan pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Melaka dan rantau pentadbirannya di Asia Tenggara mengiktiraf khalifah Uthmaniyyah sebagai pemimpin besar umat Islam keseluruhannya. Lalu, kerajaan di Alam Melayu menjalinkan hubungan dengan kerajaan Uthaminyyah. Hubungan ini semakin kuat dan melebar ketika pentadbiran Sultan Sulaiman al-Qanuni. Beliau berutusan surat dengan kerajaan Islam Acheh yang melibatkan hubungan diplomatik dan ketenteraan. Kerajaan Uthmaniyyah menjadi pelindung negara umat Islam di seluruh dunia ketika kemuncak keagungannya. Hubungan ini adalah didasari dengan keimanan. Kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia diganti oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Sejurus sebelum kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, perjuangan menentang penjajahan British di Tanah Melayu masih berhubung dengan khalifah Turki oleh rangkaian Syeikh Ahmad al-Fatani di Riau, Jambi, Pahang dan seluruh Alam Melayu. Contohnya, perjuangan Dato Bahaman Dato Bahaman memohon pertolongan Turki. Khalifah Turki menghantar pertolongan armada laut tetapi armada ini ditenggelamkan oleh British sebelum tiba ke destinasi.

Di akhir pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah, umat Islam berada dalam pergolakan dan perpecahan yang dahsyat disebabkan oleh dasar imperialisme Barat. Sultan Abdul Hamid menubuhkan gerakan Pan-Islam bertujuan untuk menyatukan umat Islam di bawah satu pentadbiran yang mantap berpayungkan Uthmaniyyah sebagai sebuah kerajaan Islam. Umat Islam perlu disatukan di bawah seorang khilafah setelah perpecahan yang berlaku akibat kolonialisme Barat. Projek ini berjalan dengan jayanya tetapi akhirnya tergendala setelah kejatuhan Sultan Abdul Hamid II. Penentangan British dan sekutunya terhadap Sultan Abdul Hamid II yang menjadi pelindung kepada umat Islam dilakukan dengan sangat terancang.

FAKTA-FAKTA YANG DISEMBUNYIKAN

Antara fakta yang menarik yang saya temui di dalam buku ini juga adalah, semasa era penjajahan Jepun di negara kita. Kerajaan Uthmaniyyah telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Jepun untuk menghalau British dari Tanah Melayu. Fakta ini langsung tidak disebut di dalam buku sejarah di negara kita kerana sesetengah penulis sejarah negara terpengaruh dengan paradoks bahawa pejuang Melayu yang melawan Jepun adalah hero negara. Selain itu, penulis di negara kita juga tidak menyebut nama-nama tokoh penting yang banyak menyumbang dalam perhubungan Turki-Melayu. Antaranya ialah Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah dilantik sebagai wakil kerajaan Uthmaniyyah di Alam Melayu. Syeikh Ahmad al-Fatani sangat berjasa dalam perkembangan ilmu agama dan pemikiran Islam di Tanah Melayu.

Bukti-bukti sejarah yang ditemui oleh penulis semasa melakukan kajian beliau menunjukkan bahawa ilmu-ilmu seperti astronomi, aljabar, algoritma, astrofizik dan sebagainya terlebih awal diasaskan oleh sarjana-sarjana Islam seperti al-Farabi, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan sebagainya. Bahasa Arab juga adalah bahasa ilmu di dunia ketika zaman kegemilangan Islam dan bahasa ini dipelajari oleh sebahagian sarjana Barat yang menuntut ilmu daripada sarjana Islam.

Penulis juga mengkritik sesetengah penulis sejarah yang tidak adil dalam menulis sejarah sesuatu tamadun. Lebih teruk lagi, penulis di tanah air kita juga terpengaruh dengan penulisan sejarawan Barat. Penulis Barat lebih fokus untuk menghuraikan keburukan kerajaan Uthmaniyyah melebihi sumbangan kerajaan tersebut terhadap tamadun Islam. Sebagai contoh, kerajaan Uthmaniyyah diburukkan dengan kes yang berlaku berkaitan dengan hal-hal peribadi dalam keluarga sultan. Walaupun wujud korupsi dalam kalangan pemerintah, tetapi sumbangan kerajaan Islam yang besar tidak di'highlight'kan dalam buku yang ditulis oleh sejarawan Barat.

Penulisan buku ini boleh jadi juga sedikit tidak adil kerana menyebelahi kepada satu pihak saja, namun buku ini ditulis berdasarkan kajian yang merujuk sumber yang 'authentic'. Oleh sebab itu, fakta sejarah dalam buku ini lebih diyakini berbanding fakta buku sejarah yang diajar di kebanyakan sekolah di Malaysia.


No comments:

Post a Comment