Pages

Saturday 13 June 2015

Introspeksi Iman : Mahasiswa 3K

Amin baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah di surau kolej kediamannya. Setelah solat berjemaah, dia akan membaca al-Quran sebentar sebelum mendengar tazkirah setiap malam di surau.

Setelah berpenat-penat belajar pada siang hari, pada malam hari pula, Amin dan teman-teman seusrahnya akan menghabiskan waktu dengan bertazkirah dan bertadarus al-Quran. Dia berasa sangat tenang apabila dapat memberikan waktu untuk makanan rohani pula.

Pada malam itu, dia sangat terkesan dengan satu tazkirah yang disampaikan oleh naqibnya , Firdaus, namun lebih famous dikenali sebagai 'Abang Surau'.

"Sudah 19 ke 20 tahun kita hidup di dunia. Kita sangat bertuah kerana dilahirkan dalam ruang lingkup Islam. Alhamdulillah... Tapi apakah yang kita sudah lakukan untuk sebarkan Islam untuk orang lain?"

"Setiap hari, rutin harian kita adalah kelas, kafe dan katil. Pagi ke kelas, kemudian makan di kafe, dan berehat di katil. Jika kita berada di takuk lama sebegini, bila akan berlakunya gerak kerja Islam?"

Soalan Abang Surau membuatkan Amin dan semua yang mendengar berfikir sejenak.

"Elakkan daripada menjadikan diri kita mahasiswa 3K. Kita sekarang sudah memasuki ke fasa mahasiswa di mana kita sedang mempelajari tentang erti hidup yang sebenar. Kita akan menjadi pemimpin negara kelak. Justeru, kita perlu lakukan perubahan untuk melihat sebuah negara yang tertegaknya Islam"

**********

Persoalan Amin itu akhirnya terjawab apabila dia menyertai satu program yang dianjurkan oleh Centre of Islamic Thoughts and Understanding di kolejnya. Program itu berbentuk forum yang didiskusi oleh beberapa pensyarah yang digelar murabbi.

Salah seorang pensyarahnya, Ustazah Basyira menerima soalan yang berbunyi, "Apakah peranan mahasiswa yang sebenar?". Lalu beliau menjawab, 

"Mahasiswa perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti seperti membangunkan surau, namun sambil mentarbiah diri. Dalam melakukan aktiviti, mahasiswa perlu berdakwah dan menyeru kepada benda baik. Apabila digelar sebagai pelajar, peranan mahasiswa bukan hanya perlu belajar, tetapi memberi sumbangan kepada dakwah dan tarbiah. Mahasiswa bukan hanya duduk di bilik, namun perlu berjumpa mad'u. Mahasiswa mesti kembangkan dakwah dan beri latihan dan modul kepada mereka."

Forum itu disambung lagi oleh jawapan yang diberikan oleh Ustaz Mutawalli pula. Apabila ditanya, "Apakah bentuk cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa kini?", beliau menjawab,

"Antara cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa kini adalah, kematangan. Mahasiswa perlu ubah cara mereka berfikir malah perlu membentuk pemikiran baru. Minda perlu dicabar dalam mengemukakan idea-idea yang bernas untuk masa depan diri sendiri dan masyarakat. Selain itu, mahasiswa perlu berbakti dan menanamkan sifat bahawa sebagai mahasiswa, mereka mampu menjadi model kepada masyarakat sekeliling."

Amin cuba menghadamkan kata-kata ustaznya itu. Ustaznya menyambung lagi,

"Pandangan mahasiswa adalah intelektual dan mereka perlu bersedia untak melihat situasi yang lebih mencabar. Justeru itu, mereka perlu bersedia menjadi pemimpin masyarakat mereka berperanan besar untuk mengubah masyarakat. Bukan sahaja perlu bijak untuk berkata-kata, malah mempunyai pandangan yang berkarisma. Mereka perlu mempunyai keupayaan yang tinggi berteraskan jati diri, rohani, ilmu."

Amin merasakan bahawa kata-kata ustaznya itu membuahkan satu pemikiran yang mencabar buat dirinya.

"Pesanan terakhir dari ana, belajar bukan sekadar untuk menampung keluarga, tetapi untuk Allah. Jika antum belajar untuk Allah, in shaa Allah ilmu akan berkekalan, bukan sekadar melepaskan jawapan di atas kertas exam. Milikilah hujah untuk melawan ideologi serta carilah pandangan yang ilmiah."

Bagaikan gunung jatuh menimpa ke atas Amin apabila dia mengetahui tanggungjawabnya yang sebenar.

Kemudian, forum itu disambung untuk pusingan kedua oleh Ustazah Basyira untuk mejawab soalan moderator, "Bagaimanakah hendak menjadi mahasiswa yang hebat?".

Ustazah Basyira membacakan sebuah hadis, "Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpinkan".

"Hendak menjadi hebat, perlu menjadi orang yang boleh mengarah dan berada di atas, namun mahasiswa perlu sentiasa beringat bahawa semua itu tanggungjawab"

"Siapa diri kita sebenarnya? Sebagai insan kita ada dua objektif utama kita, iaitu sebagai hamba kepada Allah SWT dan khalifah di muka bumi ini. Ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh setiap manusia. Niat yang utama apabila digelar sebagai manusia tak kiralah perdana menteri atau mahasiswa, adalah untuk mencapai keredhaan Allah. Oleh itu, niat ini perlu sentiasa diperbaharui atau tajdid."

"Yang dimaksudkan dengan mahasiswa hebat adalah mahasiswa luar biasa. Luar biasa di sini bermaksud membuat perkara yang orang lain tidak buat. Mahasiswa yang luar biasa, dia mampu untuk membuat banyak benda dalam sehari. 24 jam adalah cukup buatnya. Oleh itu, memanfaatkan setiap detik yang ada supaya menjadi luar biasa. Ada waktu, mahasiswa adalah sebagai pelajar dan ada waktu mahasiswa perlu aplikasikan pelajarannya dengan sekeliling. Mahasiswa perlu mendengar, kemudian fikir, kemudian lontarkan idea."

"Mahasiswa yang luar biasa, aktivitinya juga adalah luar biasa apabila aktiviti hariannya menjadi tarbiah untuk dirinya dan orang lain. Makan, minum, riadah, dan sebagainya menjadi sesuatu yang luar biasa iaitu bermanfaat untuk diri dan orang lain. Ingatlah akan janji Allah SWT bahawa jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita juga.

Semasa sesi penggulungan, Ustazah Basyira diminta untuk memberikan nasihat kepada para hadirin yang terdiri daripada mahasiswa.

"Nasihat ana untuk para mahasiswa, jangan abaikan ibu bapa yang telah banyak memberikan jasa kepada antum. Tanpa doa dan usaha mereka, antum tak akan dapat berada setinggi ini. Dan gunakanlah peluang di tempat belajar sebaik mungkin untuk menuntut ilmu."

"Pesan Imam Syafi'e, kamu tidak akan memperoleh ilmu melainkan dengan 6 perkara. Kecerdikan, disiplin, usaha bersungguh-sungguh, bekalan secukupnya, mendampingi guru dan sepanjang zaman."

"Untuk berjaya bukan sahaja perlu ada ilmu, malah perlu ada usaha, doa dan amal. Ana menutup forum ini dengan kata-kata oleh Imam Al-Ghazali,"

Menuntut ilmu adalah taqwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang ilmu adalah zikir, mencari ilmu adalah jihad.
[credit]

[credit]

**********

...bersambung...

No comments:

Post a Comment