Pages

Tuesday 9 June 2015

KISAS yang Dirindui.

Saya repost balik post yang pernah saya share suatu ketika dahulu ketika mendapat tawaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah. "Berdiri Atas Kaki Sendiri"

Post itu sangatlah keanak-anakan. At that time I was not mature enough. Bila dibaca kembali, ya, itulah perasaan saya bila pertama kali dapat belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Excited yang teramat sangat. Semasa di SMKA (P) Alawiyah Kangar, saya sangat mengagumi KISAS. Semua cerita tentang KISAS baik-baik belaka. Dengan keputusan cemerlang dalam akademik dan dalam mentarbiyah pelajar-pelajarnya. Saya terbayang-bayang, bagaimanakah kehidupan yang ditarbiyah itu?

Apabila diberi peluang oleh Allah Taala, saya memilih untuk mengenali tarbiyah dengan lebih dekat, dan ternyata tarbiyah itu sangat indah. Namun, beberapa orang sahaja yang berjiwa besar untuk menerima tarbiyah. Jujur, pada waktu itu jiwa saya belum cukup besar untuk ditarbiyah. Di fikiran saya hanyalah, sekolah ini penjara buat saya. Apa yang terjadi adalah semua yang saya lihat di mata, adalah salah! Saya jadi memberontak secara senyap. Saya hanya memendam dalam hati. Sebenarnya, saya yang memenjara diri saya sendiri. Saya tahu ada yang tidak kena pada diri saya. Saya cuba membuka hati dengan tarbiyah. Lama-kelamaan, tarbiyah itu meresap ke dalam jiwa. Saya jadi jatuh cinta pada tarbiyah di KISAS.

Sebenarnya, tarbiyah itu sangat lah pahit. Namun ia pahit dalam kemanisan. Tak semua perkara yang kita suka itu baik untuk kita dan tak semua benda yang kita benci itu buruk untuk kita. Niatlah di hati untuk mendapat kebaikan, maka tarbiyah yang pahit itu menjadi manis. Kerana manis itulah, kini saya menjadi sangat rindu pada suasana tarbiyah itu, apabila membawa diri ke tempat yang sudah tiada biah solehah. Pada masa itulah, ujian buat para alkis-II (Alumni Kolej Islam). Apabila bertanya pada mereka, jawapan mereka juga sama. Tarbiyah dalam diri juga makin terhakis. Ia menjadi satu kepayahan untuk memelihara tarbiyah dalam diri sendiri.

Semasa di KISAS, saya dipesan oleh kakak-II untuk mencari mutiara-II. Mereka katakan, mutiara-II itu tidak tertanam di dalam tanah. Saya mentafsir apakah maksud mutiara. Pada fikiran saya, tarbiyah itu adalah mutiara. Ya, namun saya belum menjumpai mutiara yang lain. 

Akhirnya saya keluar dari Bumi Waqafan tanpa berjumpa dengan mutiara yang selebihnya. Untuk pertama kali saya menuntut ilmu dalam suasan realiti masyarakat dan keluar dari suasana tarbiyah. Mujur, di tempat belajar saya masih ada bibit-II tarbiyah, iaitu INTEC. Saya merasakan bahawa mutiara tarbiyah dahulu belum cukup untuk diri saya. Lalu, saya cuba mencari lagi. Dan akhirnya, saya mendapat satu lagi mutiara, dan ianya lebih berharga. Mutiara tersebut ialah mutiara perjuangan.

Apabila menemui dengan mutiara yang kedua ini, ia memberi saya kesedaran bahawa saya perlu perkuatkan kembali mutiara yang pertama tadi. Ia perlukan istiqamah yang kuat.

Apabila saya mengimbas kembali kehidupan saya di KISAS, sebenarnya saya hampir berjumpa dengan mutiara yang kedua itu. Ia begitu hampir, cuma waktu itu Allah SWT yang lebih mengetahui bahawa perjuangan saya masih belum diperlukan, dan mungkin tarbiyah dalam diri saya juga masih belum cukup kuat.

KISAS menjadi satu memori tarbiyah yang bakal saya ingat seumur hidup. Sungguh unik bumi waqafan itu. Banyak memberi erti buat penghuni yang ada di dalamnya mahupun yang keluar darinya. Semoga Allah memelihara tarbiyah Bumi Waqafan, KISAS.

Logo di belakang jaket saya ^^

Kini helang mendapat sayapnya, namun ia masih rindu pada zaman pipitnya.

Miss Slave,
090615

1 comment: