Pages

Thursday 12 March 2015

Belajar Daripada Sebatang Pokok.

Assalamualaikum :)


Apakah yang ada pada sebatang pokok sehingga manusia perlu belajar daripadanya? Adakah pokok itu boleh menjadi guru kepada manusia? Jawapannya ya! Tetapi belajar di sini bukanlah bermaksud pokok itu mempunyai ilmu. Tetapi kerana pokok itu adalah salah satu ayat atau tanda-tanda kebesaran Allah. Firman Allah SWT dalam Kalam Teragung

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
Jika kita mengaku sebagai orang yang beriman, maka kita perlu mengetahui bahawa kita juga adalah "Ulul Albab" atau orang-orang yang berfikir. Jom kita fikir, apakah pengajaran di sebalik salah satu tanda kebesaran Allah yang sangat hebat ini iaitu sebatang pokok.

APAKAH PENGAJARAN SEBALIK SEBATANG POKOK?

1) Akar Pokok
Pertama sekali, kita lihat dulu pada asas sebatang pokok, iaitu akar. Akar pokok adalah anggota pokok yang paling penting yang menjadi asas agar pokok tetap berdiri teguh. Melalui akar juga pokok itu mendapat nutrient untuk kekal subur dan sihat. Begitulah juga peranan aqidah kepada manusia. Aqidah manusia diumpamakan sebagai akar pokok yang menjadi asas sebagai seorang hamba di muka bumi ini. Aqidah yang dimaksudkan di sini adalah aqidah kepada Allah SWT kerana ini adalah aqidah yang benar. Aqidah kepada Allah SWT perlulah kuat supaya manusia tidak hanyut dan tersesat dalam perjalanan musafirnya. Ustaz Fathi Yakan menyatakan dalam bukunya, "Apa Ertinya Saya Menganut Islam",
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
2) Batang Pokok
Seterusnya, apabila akar sesuatu pokok itu menjadi subur, batang pokok juga akan menjadi sihat dan kuat. Sehinggakan ada pokok yang mampu mencapai ketinggian sehingga seratus meter. Sangat menakjubkan. Batang pokok yang teguh ini diumpamakan sebagai ibadah seorang hamba. Apabila seseorang hamba itu mempunyai aqidah yang mantap kepada Allah SWT, ibadahnya akan menjadi lebih sempurna. Kita perlu refleks kembali, apakah tujuan kita diciptakan? Firman Allah SWT,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Sebagai hamba yang sebenar inilah tanggungjawab kita iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Namun, seseorang hamba itu bukan sahaja perlu beribadah tetapi perlu istiqamah. Apalah ertinya ibadah tanpa istiqamah. Dan apalah erti istiqamah tanpa ilmu yang dapat menyempurnakan ibadah. Ustaz Fathi Yakan menyatakan lagi,
Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatihan antara si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya.
3) Buah dari Sebatang Pokok
Apabila sebatang pokok menjadi subur setelah dibajai, ia akan mengeluarkan buah yang mampu memberi manfaat untuk orang yang memakannya. Semakin baik pokok itu, maka semakin baiklah buahnya. Begitulah akhlak seorang hamba yang diumpamakan seperti buah daripada sebatang pokok yang subur. Buah yang baik menunjukkan bahawa ia tumbuh dari pokok yang sihat. Begitu jugalah jika akhlak yang baik, ia pasti lahir dari aqidah dah ibadah yang baik. Rasulullah SAW bersabda, bukti keimanan seorang hamba itu adalah melalui akhlaknya kepada manusia lain dan segala ciptaan di muka bumi ini. Rasulullah mempunyai keimanan yang paling mantap, maka bagindalah manusia yang mempunyai akhlak yang paling sempurna. Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
Ustaz Fathi Yakan menyatakan lagi,
Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Berhubung dengan hal inilah Rasulullah s.a.w menyatakan: Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan. (Hadis riwayat Ad-Dailami).
JADI, APAKAH KESIMPULANNYA?
Ringkasannya,
Akar = aqidah
Batang pokok = ibadah
Buah = akhlak
Jelaslah kita lihat bahawa tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Setiap ciptaanNya adalah tanda-tanda kekuasaanNya yang amat hebat. Sebagai manusia yang mengaku beriman, kita perlu mengenali Allah dan salah satu cara untuk mengenal Dia adalah melalui ciptaan-ciptaanNya. Bukan pokok sahaja yang kita boleh ambil pengajaran, malah banyak lagi ciptaan yang mempunyai tanda kebesaran Allah yang tersirat.


Infiru!

AL-MUSAFIRAH AL-FAQIRAH, MISS SLAVE.
13/3/2015

No comments:

Post a Comment