Pages

Saturday 3 January 2015

Payungan KasihNya

Fahri masuk ke dalam bilik dengan muka yang lesu kepenatan. Jam telah menunjukkan pukul 3.00 pagi tetapi dia masih kuatkan diri untuk menyiapkan assignment yang diberikan oleh pensyarahnya. Hari ini dia sungguh penat dengan jadual akademiknya. Kuiz, assignment, kelab, persatuan, dan pasukan bola sepaknya. Sambil berbaring di atas katil, dia merenung sambil mengenang kembali peristiwa yang banyak dia lalui pada hari itu. Dari pukul 7 pagi dia bangun sehinggalah dia kembali ke kamarnya.

Fahri berasa ada sesuatu yang kosong dalam dirinya. Dia juga tidak tahu masalah apa yang dia sedang hadapi. Dia tak begitu rapat dengan orang di sekelilingnya, terutama sekali teman sebiliknya, Amin. Dia ingin sekali meluahkan masalahnya yang baru dihadapi pagi tadi iaitu pertelingkahan dengan teman wanitanya, Deena.

Dulu, dia rasa Deena adalah tempat yang paling sesuai untuk diluahkan masalahnya. Dia selalu luahkan masalahnya kepada Deena perihal keluarganya yang berpecah belah. Ayahnya telah berkahwin satu lagi dengan setiausaha sendiri. Seksi dan mantap. Walaupun ayahnya tahu bahawa ibu Fahri menghidap penyakit kanser payudara, namun dia tidak peduli. Ayahnya adalah jutawan ke-20 terkaya di Malaysia. Selepas beberapa bulan ayahnya kahwin, ibunya meninggal dunia. Akhirnya, Fahri hilang tempat bergantung. Fahri tidak mempunyai siapa-siapa melainkan Deena, iaitu teman wanitanya sejak di tingkatan 5.

Setelah penat memikirkan semua masalahnya, air mata gugur di pipi Fahri kerana dia sudah tidak tahan dengan semua masalah yang dia hadapi. Dia menutup mukanya dengan bantal dan menangis sepuas-puasnya. Hatinya terasa sedikit tenang dengan melakukan begitu. Setelah dia penat menangis, dia melihat teman sebiliknya, Amin yang sedang tidur lena dibuai mimpi. Dia hairan mengapa sahabat sebiliknya itu selalu saja kelihatan tenang, sentiasa senyum, tak pernah sombong dengannya walaupun kadang-kadang Fahri tidak menjawab sapaan Amin.

Amin, seorang yang tak pernah tinggal solat malah sering solat berjemaah di Masjid Rahmah berdekatan dengan kolej kediaman. Dia hairan dengan rutin harian Amin yang selalu mengaji. Suaranya agak sedap didengari. Tapi, Fahri tak pernah kisah dengan rutin harian Amin itu kerana dia selalu sibuk dengan tugasan hariannya. Kadang-kadang, Amin memakai jubah putih dan berserban serta memakai minyak wangi ketika hari Jumaat. Di jarinya selalu bersarung cincin. Fahri selalu juga terlihat Amin membaca satu buku yang penuh dengan tulisan Arab di dalamnya. Kulit buku itu tertera gambar seorang lelaki berjambang dan gambar kubah hijau di belakang lelaki tersebut. Baginya, buku itu kelihatan sangat ganjil.

Fahri mengimbas kembali, pertemuannya dengan Amin yang pertama kali. Di dalam rumah D204, 10.00 pagi,

"Assalamualaikum"

Fahri tidak menjawab.

"Saya Amin. Selamat berkenalan.", sapa Amin sambil melebarkan senyuman

"Ya. Saya Fahri"

"Saya dah siap kemas barang-barang ni. Kalau Fahri nak saya tolong angkat beg atau apa-apa, saya sedia nak tolong"

"Tak payah! Hish menyibuk je"

Fahri meninggalkan Amin di katilnya sendirian sambil membawa begnya yang berat. Amin sekadar mengendurkan senyuman. Hari itu adalah hari pendaftaran untuk memasuki ke Universiti Malaya.

"Apesal dengan mamat tu. Dengan pakai kopiahnya, bau minyak atar segala bagai tiba-tiba bagi salam kat aku. Siap nak tolong aku pulak. Bajet malaikat la tu" ngomel Fahri di dalam hati sambil mengangkat barang-barang yang masih di luar.

"Aaaaahhh!!" teriak Fahri dalam hati.

"Apasal aku nak ingat hal dia pulak. Hidup dia bukan ada kaitan dengan aku pun. Dah Fahri! Tidur!" Fahri bercakap dalam hatinya.

**********
Fahri tersedar apabila terlihat susuk tubuh yang berada di tepi katilnya. Tubuh yang sedang bersujud. Lama tubuh itu sujud. Setelah dia terlihat susuk tubuh itu, dia melihat jam dengan mata yang terkebil-kebil.

Pukul 5.20 pagi. Fahri terus menarik selimutnya dan sambung tidur. Dia tahu sahabat sebiliknya itu memang selalu bangun pada waktu-waktu sebegini. Apa yang istimewanya dia pun tak tahu. Fahri tidak pernah sekali pun bertanya solat apa yang sahabat sebiliknya sedang lakukan. Jangankan solat di tengah malam, solat yang wajib pun dia tinggal. Sudah berapa lama dia tidak bersolat. Tiada siapa pernah tegur dan ajaknya bersolat di rumah. Tambahan pula, pagi yang hening itu adalah pagi hari Sabtu. Jadi, Fahri ingin tidur hingga matahari terpacak atas kepala.

**********
"Fahri, bangun. Subuh dah ni"

'Fahri ... Fahri ..."

"Kau pehal?! Ish, kacau lah aku nak tidur! Pergi kau!"

Fahri menarik selimutnya kembalil. Amin berlalu dengan penuh hampa. Dalam kepalanya bergeliga dia berfikir, macam mana nak tarik Fahri kembali pada Allah.
**********
Petang yang hening di Taman Tasik Damai.

"Sudahlah Fahri. I rasa kita putus je lah. Kita dah tak ada jodoh. I dah tawar hati dengan you sebab you asyik bagi alasan setiap kali kita nak keluar. I dah tunggu kat taman, tapi tiba-tiba you cakap ada meeting dengan club la, itu la ini la. I tak boleh macam ni. I perlukan perhatian dari seorang lelaki." terang Deena.

Fahri hanya terdiam. Dia berfikir seketika.

"Kenapa dengan you ni? I bukan bagi alasan la. Memang betul I ada hal hari tu. Please, maafkan I. I dah tak ada sesiapa kat dunia ni selain you" rayu Fahri.

"Enough, Fahri! Biarlah hubungan kita setakat ni saja. I dah penat sebenarnya nak dengar semua masalah you. You ingat you sorang je ada masalah?!"

Fahri menghampiri Deena lalu memegang tanganya.

"Takkan you nak biarkan hubungan yang kita bina selama dua tahun ni hancur macam ni je" rayu Fahri.

"Sudah lah Fahri. Jujur sebenarnya selama ni I bukan nakkan you, tapi duit you. Tapi you ingat I ni girlfriend yang boleh jadi tempat buang masalah pulak. Tahu tak I rimas?!" tegas Deena.

Deena bangun dari bangku dan terus meninggalkan Fahri. Fahri hanya tertunduk. Hatinya bagai ditusuk sembilu setelah mendengar kata-kata. Rupa-rupanya selama ini Deena tidak ikhlas menjadi teman wanitanya. Setelah Deena pergi, Fahri bangun dari bangku lalu berjalan ke arah tasik.

"Aaaaaaahhhhh!!!" teriak Fahri sendirian.

Dia melutut di tepi tasik yang damai itu dan membiarkan air hangat menuruni di pipinya.

**********

Malam itu, Fahri tidur dengan kesedihan lagi. Dia tidur dengan air mata. Kali ini, air matanya lebih banyak. Dia terasa ada kekosongan dalam hatinya yang perlu diisi. Tapi dia tidak tahu, apa isi hatinya yang hilang. Cuma dia rasa dia ingin kembali kepada Tuhan yang Esa. Dia ingin meminta pertolongan pada Yang Maha Kuasa. Tetapi ada satu bisikan dalam hatinya yang membuat dia merasakan dia tidak layak bertaubat kerana terlalu banyak dosa. Tuhan tidak akan mengampunkannya.

"Ya Tuhan.. Aku terlalu jauh daripadaMu. Aku ingin kembali, Ya Allah... Bantulah aku..." bisik Fahri dalam hatinya.

**********

Fahri tersedar sekali lagi pada pukul 5.30 pagi. Dia lihat Amin melakukan solat di tepi katilnya.  Terdapat ruang antara katilnya dengan katil Amin. Amin sujud lama sekali. Setelah selesai solat, Amin berdoa,

"Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Engkaulah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Engkau juga Yang Maha membolak-balikkan hati hambaMu. Peliharalah daku dengan iman. Hidupkanlah daku dengan iman. Matikanlah daku dengan iman, dan masukkanlah daku ke dalam syurgaMu dengan iman. Lebarkan rahmat dan kasih sayangMu ke atas daku dan orang-orang terdekat denganku terutama sekali Fahri. Ya, Rahman, engkau berikanlah dia ketenangan. Aku tahu dia dilanda masalah. Janganlah Engkau menguji dia dengan sesuatu yang dia tak dapat dia hadapi. Bantulah dia dalam setiap langkahnya, Ya Zal Jalali walikram" rintih Amin sambil menangis di tikar sejadah.

Fahri mendengar rintihan Amin dengan begitu sayu dalam masa yang sama dia berasa tenang. Tenang kerana dia ingin sekali berdoa pada Allah seperti itu tetapi dia berasa terlalu berdosa untuk menadah tangan. Dia takut Allah tidak menerima doanya. Fahri sebenarnya berpura-pura tidur di dalam selimutnya dan mencuri-curi dengar doa Amin. Dia tidak menyangka Amin mengambil berat terhadapnya. Air matanya menitis sekali lagi kerana berasa terharu mendengar doa Amin.

**********
Petang Ahad itu, Fahri duduk sendirian di atas bangku di tepi tasik. Dia melayan perasaannya sambil mengenangkan dosanya yang terlalu banyak selama ini.

"Assalamualaikum, Fahri" tegur Amin.

"Waalaikumussalam, Amin." balas Fahri dengan senyuman yang tipis.

"Boleh aku duduk?"

"Duduklah"

"Nah, air mangga"

"Eh, mana tahu aku suka air mangga?"

"Takkan favourite roomate aku, aku tak tahu. Kau kan selalu minum air ni kat bilik"

"Oh, ya tak ya...Haha" Fahri gelak selamba.

Suasana senyap seketika. Fahri geliga berfikir menyusun ayat untuk bertanya Amin

"Amin, macam mana kau tahu aku ada masalah?"

"Oh.. Tak, hari tu aku on the way nak ke Masjid Rahmah kat simpang depan tu dengan Fahmi ngan Azrul, kan maulid malam tu. Masa aku tengah jalan, aku ternampak kau kat sini dengan makwe kau. Aku perhati kau kejap. Lepas makwe kau pergi tinggalkan, kau jerit lepas tu menangis. Jadi, aku tahu, kau sebenarnya memang ada masalah."

"Amin... Aku sebenarnya bukan ada masalah ngan Deena je. Aku ada banyak lagi masalah ngan family aku. Aku tak larat nak hadapi semua ni Amin. Aku nak focus study lagi. Hal-hal kelab aku tu, banyak lagi tak settle. Dulu, kalau ada masalah aku selalu luahkan pada Deena. Deenalah tempat aku bergantung. Ayah aku dah lama tak ambil berat hal aku. Aku luahkan pada Deena supaya beban aku rasa sikit. Rupanya Deena bukan suka sangat dengar masalah aku. Selama ni aku dah bagi dia banyak duit."

"Fahri, kalau kita bergantung pada manusia, kita akan kecewa, Sebab manusia tak kekal dan hati manusia pun tak kekal. Apabila sampai ajal, matilah manusia. Apabila dah tak tahan, berubahlah hati manusia. Bergantunglah pada tempat yang kekal iaitu Allah Taala"

"Aku sebenarnya nak kembali pada Allah. Tapi aku ni dah lama tak solat, Amin. Aku dah buat banyak maksiat. Aku takut Allah tak terima aku lagi. Kalau dosa aku ni dimanifestasikan kat muka, kau pun tak nak tengok aku, Min"

"Fahri, Allah berfirman dalam Al-Quran, "Berdoalah nescaya Aku akan kabulkan.". Fahmi, Allah tu Maha Pengampun dan Maha Mendengar. Apa yang terlintas di hati kau, Allah tahu semuanya. Allah tak tolak doa hambanya yang nak kembali. Ketahuilah, Allah masih sayangkan kau, Fahri. Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk hambanya, sampailah matahari terbit dari barat. Allah tak pernah offline nak dengar doa kau. Kau belum terlambat, Fahri"

Fahri berasa tenang selepas mendengar kata-kata dari mulut Amin. Setitis air mata membasahi pipi Fahri yang putih itu. Kata-katanya begitu jelas sekali. Tepat kena pada FahriFahri hadam dulu kata-kata Amin itu.

Amin menyambung kata-katanya.

"Kalau kau nak tahu, bila semua orang dah tak sayang kau, kau jangan risau sebab Allah sentiasa ada dan sayang kat kau. Bukan Allah je. Ada sorang lagi insan yang mulia yang sayang kat kau. Insan terpilih oleh Allah. Insan terpilih yang aku cakap ni, sebelum kita lahir lagi dia dah sayang kat kita. Insan tu ialah Nabi Muhammad s.a.w."

"Nabi Muhammad? Betul ke dia sayang aku?"

"Betul, Fahri. Kau nak dengar satu cerita tak?"

"Cerita apa?"

Diriwayatkan dalam hadis sahih, sewaktu Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan para sahabat:
"Aku berharap dapat menemui ikhwanku," kata Rasulullah.
"Siapakah ikhwanmu Ya Rasulullah?" tanya para sahabat.
"Kamu semua adalah sahabatku. Ikhwanku adalah umat yang akan datang."
"Bagaimana tuanku dapat mengenali mereka sedangkan tuanku tidak pernah mengenali mereka?" tanya para sahabat.
"Di akhirat kelak, aku mengenali mereka melalui wudhu' mereka."

Berderai air mata Fahri selepas mendengar cerita daripada Amin. Dia terasa hatinya kembali terubat. Rupa-rupanya inilah yang selama ini dia cari. Kekosongan jiwa yang dia hilang ialah cinta kepada Allah dan Rasul. Selama ini dia asyik mengagung-agungkan cinta nafsu semata-mata. Pintu hatinya diketuk dengan hidayah Allah. Dia tidak tahan menangis lalu meletakkan kepalanya pada bahu Amin.

"Amin... Maafkan aku. Selama ni aku buat tak layan kau. Rupanya Allah hantar kau supaya aku kembali pada Dia. Tolong ajar ajar aku solat dan mengaji, Min.. Isk.. Isk.. Isk.. Aku tak nak bergelumang dengan dosa ni lagi. Aku nak jadi umat yang Rasulullah rindui tu." pinta Fahri sambil menangis.

"Sabar, Fahri. Sabar. Bawa istighfar dulu..."

"Astaghfirullah..."

Suasana hening seketika. Fahri tenang di bahu Amin. Dia bersyukur kerana Allah telah menghantar Amin saat semua orang meninggalkannya.

"Dah. Jom ikut aku. Dah 6.30 ni. Kita balik dulu, mandi dan siap untuk solat Maghrib. Nanti ikut aku pergi Masjid Rahmah."

"Tapi aku tak tahu macam mana nak solat. Dah 10 tahun aku tak solat"

"Tak pe. Kau ikut je dulu pergerakan solat tu. Bacaan-bacaan tu hafal sikit-sikit."

"Okay"

Dua sahabat itu beredar dari bangku dengan senyuman harapan. Harapan yang baru muncul dalam jiwa Fahri. Matahari di ufuk barat semakin hilang cahaya.

**********

Fahri bersolat di sebelah Amin. Dalam solat Maghrib hari itu, setiap pergerakan imam Fahri ikut. Yang dia tahu hanya menyebut kalimah takbir.

"Allahu akbar"

"Sami'allahu li man hamidah"

"Allahu akbar"

Pada saat dahinya menyentuh sejadah, dia rasa begitu sayu dan tenang. Dia merasai satu ruh yang tenang yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akhirnya dia bersujud dengan Tuhannya. Dia begitu rindu. Setitis air mata jatuh dari matanya. Dia tidak tahu bagaimana bacaan tasbih dalam sujud itu. Cuma dia berdoa dalam hati,

"Terima kasih, Ya Allah"

Fahri mengimbas kembali apa yang diajar oleh Amin semasa mengambil wudhu' tadi. Badannya terasa seperti dicas oleh elektrik. Dia rasa begitu segar dengan wudhu' yang dia miliki. Lalu, dia teringat sabda nabi bahawa wudhu' itu akan menjadikan Rasulullah mengenalinya sebagai umat baginda di akhirat kelak. Dia berasa begitu tenang sekali.

**********
Di dalam bilik, dua insan itu sedang bersiap-siap untuk pergi ke maulid nabi di Masjid Rahmah selepas Maghrib. Maulid selalunya dilakukan setiap minggu pada malam Jumaat. Amin mula mengajak Fahri menghadiri majlis ilmu setiap minggu di masjid.

"Nasib baik jubah kau ni padan ngan aku" kata Fahri sambil menunjukkan dirinya yang sudah tersarung dengan jubah putih milik Amin.

"Wow. Hensemnya kau. Memang cantiklah jubah ngan kau. Dengan badan sasa lagi. Memang perfect la. Macam Fahri hero filem Ayat-Ayat Cinta dah aku tengok. Meh, aku nak pakaikan serban kat kau"

"Eleh... Padahal ni jubah dia. Kenapa kau suruh aku pakai benda alah ni?"

"Ni pakaian sunnah tau. Rasulullah dulu macam ni lah pakaian baginda. Baginda sukakan warna putih, suka pakai cincin, suka pakai wangian, selalu pakai ridha' ngan serban ni. Sebab tu lah aku selalu pakai semua benda-benda ni"

"Apasal kau suka ikut semua benda ni?"

"Sebab aku sayang nabi lah aku buat semua benda ni. Sayangkan sunnah nabi sama juga macam sayang nabi. Kalau sayang nabi, akhirat nanti in sha Allah kita boleh mintak tolong baginda. Minta syafaat supaya dapat masuk syurga bersama-sama baginda"

"Oh.. Ridha' tu yang atas bahu kau ni eh?"

"Yup.."

"Asal untuk aku tak ade?"

"Sorry la. Aku tak de ridha' lebih. Ni pun dah mahal aku beli"

"Aisehh"

"Dah lah. Jom gerak sekarang. Nanti tak dapat duduk depan, tak dapat nak rakam qasidah pulak"

"Eh, jap Amin"

"Kenapa?"

"Aku cuma nak cakap, nanti kalau kau tak jumpa aku kat syurga, tolonglah cari dan tarik tangan aku dalam neraka."

"In sha Allah, Fahri"

Mereka sama-sama berpelukan sambil menitiskan air mata terharu.

...bersambung...







Alhamdulillah! Bersempena dengan bulan maulidurrasul ini, MS tulis satu cerpen khas untuk kita umat nabi Muhammad s.a.w. dalam kita menjadi umat baginda, ayuhlah sama-sama kita ikuti sunnah baginda :3
Miss Slave,
3/1/2014

No comments:

Post a Comment