Pages

Wednesday 8 April 2015

Hadiah Buat Ibu dan Ayah

Indahnya dunia yang kulihat ini
Bukan kerana dunia ini cantik
Bahagianya kuhidup di dunia ini
Kerana ibu dan ayahku di sisi

Ibu
Wanita yang luar biasa
Setia menemani di sisi suaminya
Tabah melayan kerenah anaknya
Namun tiada siapa pernah tahu
Apa yang terbungkam di hatinya

Ibuku
Tiadalah aku mengenal Tuhan
Tanpa melihat dirimu bersolat
Tiadalah aku bisa berdiri tanpamu
Tiadalah aku bisa bertutur
Tanpa mendengar bicara lembutmu

Ibuku yang tercinta
Tidak setimpal segala pemberianku padamu
Dengan jasa dan pengorbananmu
Tidak akan bisa dibalas dengan sesuatu
Kasih sayang yang suci darimu
Doa darimu sentiasa meniti di bibir
Demi melihat kejayaan anakmu
Demi melihat anakmu berjuang
Hidup di dunia yang fana ini

Ayah
Lelaki yang berpendirian tegas
Setiap keringat dan masa dikorbankan
Buat isteri dan anak-anaknya
Dirinya tidak mengenal erti susah
Mengajar makna kehidupan ini
Kepada anaknya dan anak bangsanya

Ayahku
Tiadalah aku mengenal al-Quran
Tanpa tunjuk ajar darimu
Tiadalah aku mampu menjadi manusia
Tanpa tarbiah dan didikan tegasmu
Anakmu kini mampu berdiri
Menjadi panah-panah Islam

Ibu dan ayah
Tidak dapat kubayar dengan dunia
Tidak juga dapatku balas dengan cinta
Segala jasa dan pengorbanan suci
Anakmu hanya mampu menyalurkan
Doa buat kebaikan di akhirat
Dan iringan ke pusara kelak
Kerana Tuhan tidak pernah menolak
Doa anak buat orang tuanya



Miss Slave, INTEC Education College
9/4/2015

No comments:

Post a Comment