Pages

Friday 30 October 2015

Fastaqim!

Setelah hidup bergelumang dengan dosa dan jahiliah, semua orang pasti mahu kembali kepada fitrah. Fitrah untuk kembali ke jalan Tuhan yang lurus, dan menjadi hambaNya yang taat. Hanya rahmatNya sahaja yang mampu menyelamatkan kita di akhirat.

Post ini khas untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan tarbiah dan baru hendak mendalami Islam dengan lebih dekat. Setelah hidayah mengetuk pintu hati anda, anda pasti merasakan satu ketenangan yang tak mampu anda miliki sebelum ini. Ketahuilah, Allah telah memilih anda untuk memiliki ketenangan itu, dan anda juga telah memilih untuk menerima ketenangan itu. Hal ini tidak mustahil berlaku kerana Tuhan bersifat Maha Penyayang. Moga Tuhan memberkati kita semua.

Untuk anda yang baru hendak berubah,

Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana telah memilih untuk membuka hati menerima kebaikan. Bukan calang-calang orang dipilih oleh Allah untuk masuk syurga. Panjatkan seribu kesyukuran kepada Tuhan kerana anda telah bebas dari belenggu jahiliah dan nafsu.

Sudah menjadi fitrah apabila kita (saya juga masih dalam mengislahkan diri) baru hendak berubah, pelbagai cacian yang kita akan terima.

"Perangai teruk macam apa, ada hati nak berubah"

"Halamak, ada ustaz baru la dalam rumah ni!!"

"Weh, ni tudung ka telekung? Hahaha!"

"Ni mesti terpengaruh dengan cerita2 Islamik mengarut tu. Tak payah nak jadi baik la weh. Mau ka orang alim terima hang?"

Jika anda berhadapan dengan orang macam ni, jangan biarkan mereka lunturkan semangat anda untuk berubah. Doakan saja supaya mereka juga menerima hidayah. Kerana syaitan tak pernah putus asa menghasut manusia. Biarlah anda pula menjadi sebab mereka untuk mendapat hidayah.

Yang penting, kita mampu menjaga tarbiah untuk diri kita sendiri.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa tips agar kita sentiasa istiqamah untuk berubah:

1. Sentiasa mentadabbur dan menghayati ayat-ayat Al-Quran.

Jika kita hendak merasakan Allah bercakap dengan kita, maka bacalah al-Quran. Mungkin, kita boleh refleks berapa kali sehari al-Quran dibuka. Hayatilah bait-bait kalam teragung di dalam al-Quran kerana memang fitrah, hati kita mudah tersentap dengan kata-kata. Jika sentapnya tu sampai ke lubuk hati, boleh gugur air mata di pipi :D

Jadikan al-Quran sebagai peneman hingga ke akhir hayat. Kerana hanya al-Quran sahaja panduan setiap zaman yang boleh menjadi rujukan untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus.

2. Sentiasa bersama-sama dengan orang-orang soleh

Hidup bersama-sama dengan orang yang soleh akan mendatangkan impak yang besar untuk diri sendiri kerana kita cenderung untuk mencontohi alim ulama. Cara yang paling mudah untuk mengikuti orang-orang yang soleh adalah dengan hidup berjemaah. Kerana dalam jemaah, orang-orang alim atau lebih dikenal sebagai naqib/naqibah akan sentiasa memantau peningkatan kita dari semasa ke semasa. Dengan berjemaah, kita akan sentiasa melibatkan diri dengan usrah, tamrin, rehlah, dan daurah untuk memantapkan diri dan fikrah.

3. Membaca kisah-kisah tokoh-tokoh Islam

Seperti yang dinyatakan di atas, kita cenderung untuk mengikuti jejak langkah orang yang kita kagum. Bilangan tokoh-tokoh Islam yang berjaya adalah tidak terkira jika hendak dihitung. Bacalah kisah-kisah para Rasul, para wali Allah, para ulama', para penguasa Islam, para pejuang, dan pemikir-pemikir Islam. Menghayati kisah hidup mereka akan membuka mata dan refleks pada diri bahawa kita belum menyumbangkan apa-apa untuk Islam dan ilmu kita hanyalah secebis dari lautan ilmu yang mereka ada.

4. Menjaga hati

Jika baik seketul daging (hati) itu, maka baiklah keseluruh badan. Ketahuilah bahawa ia adalah hati. Betapa pentingnya hati ini perlu dijaga kerana ia yang akan mengawal bagaimana akal berfikir. Berkuasanya hati adalah sepertimana berkuasanya seorang raja.

Justeru itu, pentingnya untuk memastikan hati dijaga dari perkara2 buruk kerana akhlak dan kata2 yang terzahir adalah manifestasi kepada apa yang ada di dalam hati dan apa yang difikirkan oleh akal.

"Kerana dari mata, turun ke hati"

"Jadi, nak jaga hati kenalah jaga mata"

Bukan mata saja. Banyak lagi perkara yang perlu dijaga.

Semoga kita semua mampu istiqamah di jalan tarbiah sehingga memperoleh kemenangan di hari akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment