Pages

Sunday, 2 October 2011

Perundangan Islam - Utamakan Mencegah Bukan Menghukum

Dipetik daripada Blog Tok Guru:


Tok Guru berucapan pada Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, pada 22 Syawal 1432 bersamaan 20 September 2011, jam 10.40 pagi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu. 

Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.


Tema sambutan Hari Hududullah pada tahun 1432 Hijrah ini ialah “Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”. Bermakna perundangan Islam termasuk hukum hudud amat mengutamakan prinsip mencegah dan mendidik umatnya ke arah keharmonian hidup bermasyarakat.


Oleh itu, di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Satu ayat daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga daripadanya tentang hukum cerai dan iddah, dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka, seperti mana ayat tersebut di atas. Kemudian, satu ayat juga menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu lagi membicarakan tentang hukum zihar.



Penelitian terhadap ayat-ayat tersebut memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, maka digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah. Malah dilabelkan pula sebagai undang-undang primitif yang ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam kehidupan manusia adalah disebut “hududullah” (hudud Allah).
Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui bersekedudukan tanpa berkahwin yang menyebabkan hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Nyata sekali, setiap perkara yang haram, melanggar perintah Allah SWT, maka dianggap melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb.­ – Hadis riwayat Bukhari.

Penegasan Allah
Sebagai mengingatkan kembali, hayatilah penegasan Allah mengenai hudud yang bertaraf “tilka” memberi makna kehormatan, ketinggian dan peringkat atasan dari segi keutamaannya. Bermakna ia perkara penting. Maka orang yang tidak menerima hudud Allah, orang itu adalah orang durhaka!
Hukuman-hukuman hudud akan dilaksanakan oleh orang yang pakar mengenainya. Penghukuman hudud ada orangnya yang kita panggil hakim. Ia adalah tugas hakim bukannya orang politik. Maka rakyat atau mereka yang ragu, tidak perlu bimbang.
Kita juga kena ingat balik kisah “riddah” pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Keputusan beliau ialah mengisytihar perang terhadap golongan riddah. Lalu Saidina Abu Bakar menegaskan: “Usahkan orang tidak mengeluarkan zakat, orang yang tidak beri ‘tali hidung’ (‘iqal) unta, aku akan perangi mereka.” Ia bermakna perbuatan yang bersifat durhaka itu tidak boleh dibiarkan, kerana bila dibiarkan akan rosaklah masyarakat (orang ramai).
Sama juga, dengan seseorang itu yang membiarkan bacaan fatihah secara tidak betul tajwid, akan berterusan dengan tidak betul. Sedangkan kerana bacaan tidak betul itu, mwenyebabkan ia berubah makna atau menjadi makna yang tidak betul.
Akhirnya, rakaman tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah istiqomah dan sentiasa mengambil tanggungjawab menjayakan misi hududullah ini. 

No comments:

Post a Comment